Wednesday, October 8, 2008

Macam Macam Petua Ada Disini~

Teknik susun umpan


TEKNIK memasang umpan juga penting untuk menarik perhatian ikan. Ini kerana cara menyusun serta meletakkan umpan turut diambil kira supaya mangsa lebih cepat memakan umpan.

Menghimpunkan jumlah umpan yang banyak terutama cacing pada mata kail antara teknik yang boleh digunakan ketika memancing air tawar untuk memikat penghuni sungai ataupun tasik. Cacing adalah antara umpan paling berkesan untuk kebanyakan ikan air tawar. Ia mungkin digunakan seekor atau beberapa ekor sekali gus seperti gambar rajah berikut.

^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^

Jangan meludah dalam laut

DALAM dunia nelayan ada banyak pantang larang yang kadangkala tidak dapat diikuti dengan teratur, namun daripada beberapa aspek yang lojik perlu diamalkan terutama petua yang mendatangkan kebaikan.

Nelayan terdahulu yang mengamalkan petua dan pantang larang seperti tidak membawa pulut kuning, telur, daging mentah, bertih sering dikaitkan sebagai makanan syaitan di laut, hari ini pantang larang itu tidak diendahkan oleh pemancing dan tekong bot sendiri.

"Kita yang nak makan, bukan nak jamu orang atau makhluk lain," itu yang diperkatakan oleh mereka dan rata-rata menolak dakwaan ribut yang datang itu bukan daripada petua yang salah.

Apa pun ada baiknya diterjemahkan semula petua yang boleh diamalkan seperti bersiul pada waktu malam, menjerit-jerit, mulut lantang yang tidak bertapis cakap, mencabar untuk berentap dengan ikan sebesar kapal atau mengunakan ilmu hitam yang bertentangan dengan ajaran Islam.

Lebih daripada itu mereka sanggup mengunakan kain kapan orang mati yang diambil dari kubur yang baru di kebumikan, tali orang mati digantung malah banyak lagi perkara yang salah di gunakan.

Ini bukan saja mengundang dosa tapi akan berdepan dengan bahaya di laut yang bukan sedikit. Petua atau amalan begini tidak boleh dipakai sama sekali. Sebaliknya melangkah turun dari rumah dengan mengingati Allah adalah sebaik-baik amalan dan meludah di laut segera dihentikan kerana laut tempat kita mencari rezeki yang perlu dihormati.

Rezeki yang kita ambil dari tempat berludah adalah satu perbuatan jijik malah dijadikan makanan untuk keluarga. Justeru adalah lebih baik supaya kita tidak meludah di laut sesuka hati, berludah saja dalam plastik atau tidak membuang benda-benda kotor di laut.

^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^

Hilang punca jalan keluar

SESAT sering berlaku semasa mencari jalan keluar dari lokasi memancing di terutama lombong tinggal atau tasik dalam hutan, namun pengalaman seorang bekas sarjan komando tentera darat, dapat dijadikan petua untuk diamalkan bersama kaki pancing.

Petuanya mudah, lakukan menakik pokok pada permulaan kita masuk ke hutan dengan meletak ranting pokok yang ditajamkan bahagian hujung menghala ke lokasi. Tanda berkenaan perlu dibuat setiap 5 atau enam meter sehingga sampai di lokasi.

Semasa pulang ikut jalan yang dilalui dengan menjadikan tanda sebagai panduan. Cara begini anda pasti tidak akan sesat namun perlu berhati-hati kadang-kadang timbul kekeliruan disebabkan hilang atau salah tunjuk.

Jika timbul kekeliruan anda jangan penik dan hentikan perjalanan bagi mengelakkan terus sesat. Teruskan mencari tanda jangan berpecah jika dalam kumpulan kerana berpecah itu akan mengundang masalah yang lebih buruk.

Ini pernah berlaku dalam kumpulan pemancing yang hilang arah untuk pulang lalu berpecah dua kumpulan untuk mencari arah pulang dengan mencari ranting pokok yang dipatahkan, bagaimanapun kedua-duanya akhirnya jauh meninggalkan jalan mula yang ditanda.

Akhir dua kumpulan berkenaan hilang antara satu sama lain hingga bermalam dalam hutan tebal. Mereka akhirnya di selamatkan oleh satu lagi kumpulan pemancing yang mengunakan jalan yang sama tidak jauh dari tempat kedua-dua kumpulan yang sesat itu.

Berpandu kepada peristiwa ini Pak Nuri syorkan supaya arah tuju mesti ditanda semasa melalui hutan tebal atau lorong dalam hutan. Jangan sekali-kali berpisah jauh daripada tanda yang sudah dibuat. Petua ini mesti di amalkan.

^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^

Jangan memancing semasa kilat

CUACA banyak memainkan peranan penting dalam sebarang aktiviti sukan dan riadah. Begitu juga dengan aktiviti memancing, cuaca tetap menjadi sebahagian daripada fenomena yang penting terutama ketika berada di tengah laut dan jauh dari pulau dan tanah besar.

Pernah berlaku beberapa peristiwa semasa satu kumpulan pemancing muda melakukan ekspedisi memancing di laut berhampiran perairan Pulau Bidong Terengganu, beberapa tahun lalu.

Menurut cerita Pak Wan Dollah, tekong veteran yang kini sudah berusia 88 tahun dan tidak lagi turun ke laut tapi masih dapat mengingati kumpulan yang tidak mengindahkan larangan atau petua ketika memancing ketika berlaku kilat sabung menyabung.

Jika berlaku sebarang suasana sedemikian pemancing tidak digalakkan mendedahkan diri di tempat lapang yang terbuka atau tidak memegang joran atau memegang batang besi kerana ia mudah disambar petir.

Menurut Pak Wan Dollah, ketika membawa rombongan pemancing beliau menasihatkan kaki pancing supaya patuh kepada petua seperti yang dinyatakan di atas tapi petua itu langsung tidak diendahkan sebilangan pemancing yang terdiri daripada lapan orang anak muda.

Dalam suasana cuaca yang berubah dengan tiba-tiba angin kencang bertiup berserta guruh dan kilat, gelombang besar mula mengubah ganas di laut yang tadinya tenang.

Pak Wan Dollah mengarahkan kaki pancing supaya beredar masuk ke kabin dan tidak mendedahkan diri bagaikan mencabar kilat yang mula memanah beberapa kaki pancing yang degil itu.

Suasana menjadi kelam kabut kerana tiga pemancing pengsan apabila joran pancing mereka disambar kilat. Pak Wan Dolah terpaksa melakukan rawatan daripada pengalamannya yang luas dalam menghadapi situa si begitu.

Rakan pancing lain menginsafi kedegilan setelah melihat rakan mereka yang dan tidak langsung mahu mendengar nasihat tekong atau mengamalkan petua yang baik itu.

Justeru nasihat Pak Nuri perlu elakkan diri daripada mencabar kilat dengan mendedahkan diri kepada keadaan sedemikian. Berhentikan sebarang aktiviti memancing semasa guruh dan kilat sabung menyabung.

Berlindung di tempat yang selamat serta berzikir untuk kebaikkan semua.

InsyaAllah Tuhan akan mengingati kepada orang yang ingat kepadanya.

^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^

Berpatah balik selepas separuh perjalanan

LANGKAH kaki ketika keluar rumah menjadi perkiraan serius bagi sesetengah orang. Justeru, berpatah balik setelah mengatur perjalanan jauh adalah satu perbuatan yang kurang baik.

Tetapi hakikatnya itulah yang sering berlaku apabila seseorang sanggup membatalkan niat ke sesuatu lokasi kerana semata-mata berlaku perkara tertentu yang dianggap tidak wajar bagi meneruskan perjalanan.

Namun tidak ramai yang memikirkan petanda kurang baik daripada apa yang dilakukan itu. Kerana berpatah balik itu nyata satu petanda perjalanan itu tidak harus diteruskan pada waktu itu. Justeru, ambillah tindakan untuk pulang jika kita benar-benar faham mengenai detik hati, gerak rasa atau petua.

Langkah terbaik yang perlu dilakukan ialah anda harus berehat untuk beberapa ketika di rumah atau di mana saja destinasi yang membabitkan anda berpatah balik. Atau, adalah lebih berkat lagi dengan mengamalkan petua seperti menunaikan solat sunat dua rakaat dan bermohon kepada Allah supaya perjalanan anda seterusnya akan diberkati, lancar dan beroleh keselamatan.

Kita tentu jarang-jarang memikirkan atau tidak langsung mahu menjadikan iktibar daripada perkara ini.

Ingat, sikap mengambil ringan atau tidak endah sering membawa padan buruk. Namun tidak ramai daripada kalangan kita terutama mereka yang berdarah muda yang sentiasa memburu masa; mengambil kira ada tanda-tanda buruk yang sudah ditunjukkan pada peringkat awal.

Kerana itu adalah lebih baik pada pandangan Pak Nuri yang melalui beberapa peristiwa yang ada baiknya, jika anda berpatah balik kerana ada barang yang tertinggal di rumah walaupun anda sudah melakukan separuh perjalanan ke destinasi.

Apa yang perlu dibuat ialah anda perlu berehat di rumah atau tidak digalakkan untuk meneruskan perjalanan. Berehat untuk beberapa ketika, tunaikan solat sunat dua rakaat dan kemudian bolehlah meneruskan perjalanan anda dan sentiasa ingat kepada Allah bermohon untuk selamat dalam perjalanan

^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^

Jangan lupa halia, bawang putih

KETIKA rasa ghairah membuat persediaan turun memancing, ramai kaki pancing lupa kepada beberapa petua yang perlu diamalkan seperti menyediakan ubat-ubatan menahan bisa, sakit perut, pening kepala atau sakit gigi serta disengat binatang bisa.

Keperluan ini sangat penting untuk dibawa bersama sama ada secara kumpulan atau individu walaupun keperluan berkenaan ada disediakan dalam bot atau kotak ubat, namun langkah berjaga-jaga perlu dilakukan kerana ada kemungkinan tekong atau ketua kumpulan terlepas pandang mengenai ubat yang perlu dibawa dalam setiap kotak atau beg pemancing.

Pernah berlaku pada satu trip memancing laut dalam apabila seorang pemancing terkena sengat ikan pari.

Sebagai langkah bantuan untuk menahan bisa, tekong bergegas membuka kotak ubat yang tersedia tetapi semua ubat yang diperlukan sudah kehabisan.

Keadaan menjadi kelam kabut dan mencemaskan. Bagaimanapun seorang daripada pemancing lain dalam kumpulan berkenaan bertindak memicit bahagian yang terkena sengat untuk mengeluarkan bisa dan kemudian menumbuk halia bersama bawang putih lalu dilumurkan pada tempat luka yang terkena sengat itu.

Langkah ini dapat mengurangkan rasa sakit kerana panas halia bercampur bawang putih dapat melawan sakit. Bagaimanapun ia perlu dirawat terlebih dulu.

Daripada peristiwa yang berlaku langkah terbaik suiaya kita semua tidak mudah panik, tetapi perlu memberikan kerjasama dan cepat memberi bantuan.

Kepada tekong berpengalaman, mereka tetap mempunyai beberapa jenis rempah ratus selain untuk masak sekurang-kurangnya sebagai pilihan kedua apabila ubat yang diperlukan tertinggal atau kehabisan.

Peranan halia dan bawang putih amat penting kerana kepercayaan masyarakat Cina dua rempah berkenaan dapat membuang angin dalam badan dan dapat menyedut biasa jika terkena sengat binatang atau ikan berbisa.

^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^